Kebanyakan wanita di kampung ini merupakan suri rumah, namun ada juga yang bekerja sebagai buruh. Walau bagaimanapun, sebahagian daripada suri rumah ini menjalankan aktiviti membuat kuih kering. Selain itu, mereka juga telah menjadi ahli kepada Persatuan Wanita atau lebih dikenali sebagai 'Women Institute' (WI).Ahli persatuan ini juga terdiri daripada pelbagai bangsa terutamanya kaum Melanau Bintulu dan Iban. Persatuan ini telah menjalankan beberapa aktiviti seperti kelas masakan, kelas orang dewasa dan poco-poco. Kelas masakan ini selalunya diadakan di Masjid Al-Falah, Kg Penan Muslim dan diadakan pada hari Sabtu, tenaga pengajar terdiri daripada ahli persatuan itu sendiri. Kelas orang dewasa adalah kelas yang dikhaskan untuk golongan dewasa yang tidak tahu membaca.