Kampung Penan Muslim yang terletak di laluan jalan utama memudahkan pihak SESCO dan LAKU untuk menyambung bekalan elektrik dan bekalan air bersih. Terdapat segelintir rumah yang belum mempunyai meter sendiri akibat dari kos penyambungan meter. Mereka berkongsi bekalan air dan bekalan elektrik daripada rumah yang berdekatan. Walaubagaimanapun, beberapa buah rumah telah mendapat subsidi daripada pemerintah tempatan untuk mengatasi masalah ini.

            Kampung ini mempunyai sebuah masjid yang diberi nama Masjid Darul Falah. Masjid ini telah dinaiktaraf pada tahun 2011 memandangkan penduduk kampung dan kawasan sekeliling yang beragama Islam semakin meningkat. Ini memudahkan mereka terutamanya golongan lelaki muslim untuk mendirikan sembahyang Jumaat.

Kampung ini tidak dilengkapi dengan talian tetap. Penduduk kampung ini hanya bergantung kepada telefon mudah alih dan kini perkhidmatan daripada pihak Celcom, Maxis dan DiGi telah memudahkan penduduk kampung berhubung antara satu sama lain.