Pusat Ekonomi Digital (PEDi) merupakan projek kerajaan dengan inisiatif oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Projek ini dilaksanakan oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) di bawah Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) dengan memberi fokus kepada komuniti tempatan do kawasan luar bandar. Pusat Ekonomi Digital (PEDi) juga telah dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) pada awal pembukaannya. Pada tahun 2012, semua Pusat Jalur Lebar Komuniti dikenali sebagai Pusat Internet di seluruh Malaysia. Walaupun penukaran nama telah berlaku, tetapi objektif penubuhan adalah sama. 

Peranan PEDi adalah sebagai Pusat Sehenti untuk;

  • menyediakan capaian Internet secara kolektif kepada masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar.
  • masyarakat setempat mengikuti pelbagai kursus dan latihan berasaskan ICT, mengambil bahagian dalam program untuk mengasah kemahiran dalam peniagaan e-dagang, serta aktiviti yang menggalakkan penciptaan digital, penyebaran dan penguasaan ilmu pengetahuan digital.
  • meningkatkan kesedaran dan penglibatan komuniti ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi dan memperkasakan modal insan dalam kalangan masyarakat luar bandar dan miskin bandar.
  • membimbing dan melahirkan usahawan mikro yang menggunakan teknologi digital, bagi mempergiatkan lagi transformasi pendigitalan perniagaan ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing.

Fokus PEDi tertumpu kepada usaha memberi penekanan kepada penjanaan pendapatan serta membantu ekonomi rakyat melalui e-dagang melalui kerjasama strategik bersama beberapa agensi kerajaan dan swasta. Justeru, penekanan transformasi digital menjadi agenda utama di PEDi supaya masyarakat di luar bandar dan kawasan miskin bandar boleh memperkasakan diri kepada kegiatan ekonomi serta menambah pendapatan mereka melalui aktiviti ekonomi digital.

Sebanyak 873 PEDi sedia ada akan dinaik taraf dan dipergiatkan sebagai Pusat Sehenti untuk aktiviti ekonomi digital luar bandar. Setiap PEDi dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital serta kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan oleh komuniti setempat. PEDi juga mempunyai akses kepada pelbagai aktiviti pasaran, latihan dan pemerkasaan dari pihak agensi kerajaan lain dan swasta.  37 PEDi baharu akan dibuka pada suku pertama tahun 2022. Sementara sebanyak 173 PEDi akan ditubuhkan di bawah matlamat 1 Dewan Undangan Negeri (DUN) 1 PEDi. PEDi ini dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada penhujung Disember 2022.  Ini menjadikan sebanyak 1,083 PEDi beroperasi di seluruh negara.

 

sumber : https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/SOALAN-SOALAN_LAZIM_MENGENAI_PUSAT_EKONOMI_DIGITAL_KELUARGA_MALAYSIA_-PEDi-_20211124_FINAL.pdf